Dato’ Dr Hasan Ali

Profil pengasas Anjung Husnul Khatimah.

profil-dato-dr-hasan-ali.jpg

PROFIL

LATAR BELAKANG

Dato’ Dr Hasan Hj Mohd Ali dilahirkan di Klang, Selangor Darul Ehsan pada 28 November 1947. Beliau mendapat ijazah pertama dari Universiti Malaya pada sesi 1970/71, Ijazah Sarjana dari University of Pittsburgh, USA pada tahun 1975 dan PhD dari University of Wisconsin, USA pada tahun 1985.

KERJAYA

Dato’ Dr Hasan pernah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik selama hampir 20 tahun. Beliau telah menjawat pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan. Antara jawatan yang pernah disandang adalah:

1. Penolong Setiausaha di Bahagian Kabinet, Jabatan Perdana Menteri (JPM)
2. Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Selangor
3. Ketua Penolong Setiausaha (Perkhidmatan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor
4. Ketua Penolong Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Malaysia, JPM
5. Ketua Penolong Pengarah (Unit Perancangan) Kementerian Tanah
6. Ketua Pusat Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
7. Timbalan Ketua Pengarah Biro Tatanegara, JPM.
8. Timbalan Ketua Pengarah, Unit Penyelidikan Sosio-Ekonomi, JPM.

Beliau meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan pada tahun 1985 dan sekarang ini dipilih oleh rakyat sebagai wakil rakyat di DUN Gombak Setia, Selangor.

PROGRAM & AKTIVITI

Dato’ Dr Hasan juga pernah menganjurkan program-program pendidikan keluarga, pendidikan kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah, pendidikan keremajaan dan sebagainya.

Dato’ Dr Hasan bersama lain-lain tenaga profesionalnya pernah terlibat mengendalikan program-program latih-luar korporat kepada hampir 200 badan-badan korporat yang bertapak di dalam dan di luar negara. Latihan yang diberi menekankan aspek pembinaan sikap positif bagi menjadi tenaga kerja yang lebih berdedikasi, berketrampilan dan bertaraf dunia. Antara program itu termasuk pengurusan strategik, kepimpinan korporat, kualiti dan produktiviti, pengurusan kepemimpinan dan sebagainya. Program-program ini biasanya dikendalikan secara in-house di tempat pilihan agensi berkenaan.

Dato’ Dr Hasan adalah pelopor dan perintis kepada gerakan kesejahteraan keluarga di Malaysia. Program Summer Camp, Smart Learning dan Ibu bapa Cemerlang Anak Gemilang adalah di antara program perintis yang kini masih segar dan terus diminati oleh masyarakat Malaysia dan negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan Selatan Thailand.

Dalam bidang penulisan, Dato’ Dr Hasan menulis lebih daripada 30 tajuk buku, ratusan bahan audio visual yang sebahagian besarnya menggariskan tatacara memantapkan institusi keluarga dan pemupukan budaya cemerlang di kalangan ahli keluarga. Ribuan peserta daripada segenap lapisan umur bertaburan di seluruh negara sudah dan sedang memberi sambutan hangat kepada program Dato’ Dr Hasan. Dato’ Dr Hasan membuka satu lembaran baru dalam bidang kesejahteraan keluarga di rantau ini.

Dato’ Dr Hasan diberi peluang buat sekian lamanya menyertai beberapa program terbitan TV kerajaan dan swasta. Penglibatan beliau kebanyakannya sebagai konsultan dan ahli panel rancangan-rancangan TV seperti Malaysia Hari Ini, RSB, Nona, Majalah 3 untuk TV3 serta Selamat Pagi Malaysia, Minda dan Forum Perdana Ehwal Islam untuk RTM.

Bersama-sama dengan tenaga profesional lain, Dato’ Dr Hasan berjaya melonjakkan program agama dan program-program talk-show menjadi program yang diminati oleh masyarakat Malaysia. Kepopularan Dato’ Dr Hasan merentasi sempadan negara di mana beliau juga sering menjadi tetamu undangan program pendidikan kemasyarakatan dan kekeluargaan serta motivasi kecemerlangan di TV Singapura dan Brunei Darussalam.